
EPISOD-1

KEDAH
Episod ini membawakan kisah dua buah keluarga yang hidup dalam kemiskinan dan kedaifan. Saharee Awang, 82 tahun, seorang warga emas dan bapa tunggal yang kini tinggal melarat bersama tiga anak lelakinya di dalam rumah usang. Faktor usia di samping keuzuran menyebabkan beliau tidak lagi mampu membuat sebarang perkerjaan. Kehidupan beliau dan anaknya sama sahaja dari kari ke hari, makan minum tidak menentu dan terpaksa bergantung kepada ehsan masyarakat sekeliling disamping duit pemberian anak-anak.

NEGERI SEMBILAN
Kisah kedua pula menceritakan kehidupan Nafisah Mohamad Yusof, 49 tahun, yang terjerumus ke lembah kemiskinan selepas berpisah dengan suami. Beliau mempunyai lima anak untuk di tanggung dan empat daripadanya masih bersekolah. Bekerja sebagai buruh di kilang ayam dengan pendapatan kira-kira RM700 sebulan dia menyara kehidupan bersama anak-anak dan ibu.
EPISOD-2
MELAKA
Episod ini membawakan kisah kehidupan di Rumah Warga Tua Darul Saadah. di sinilah tempat bagi empat orang warga emas yang tidak mempunyai anak dan cucu menghabiskan sisa-sisa usia mereka. Siti Fatimah Liau Abdullah, 55 tahun, disisihkan keluarga sebaik memeluk agama Islam. Rokiah Abdullah, 70 tahun, yang berasal dari masyarakat orang Asli terpaksa mengemis sebelum ditempatkan di sini. Sementara, Buruk Mat, 72 tahun, tidak dikurniakan anak dan suami pula sudah pergi untuk selamanya. Sejak dari itu beliau memilih untuk menghabiskan sisa hidup di sini. Seorang warga India, Abdul Gafoor Medeen Syayeeh, 89 tahun, tinggal di sini lantaran tidak mempunyai wang untuk pulang ke India apabila ditamatkan perkhidmatan sebagai buruh ladang.

PERAK
Kisah kedua pula memaparkan kemiskinan membuatkan anak-anak terpaksa berhenti sekolah dan tidak mengambil peperiksaan SPM. Liku kehidupan Misah Mat 58 tahun, yang dilanda kemiskinan apabila pemergian suami ke rahmatullah dua tahun lalu. Hidup dalam keadaan daif di dalam rumah usang yang di bina atas tanah milik orang lain bersama 10 orang anaknya. Misah yang sering sakit kini membanting tulang melakukan pelbagai pekerjaan dengan upah tidak seberapa bagi menyara kehidupan.
EPISOD-3
JOHOR
Hilang tempat bergantung di saat diri dan keluarga masih memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ketua keluarga yang bergelar suami dan ayah. Episod ini membawakan kisah seorang ibu tunggal yang kematian suami akibat kemalangan jalan raya pada Januari lalu. Hasnah Hussin, 46 tahun, hilang punca pendapatan sekaligus menyukarkan kehidupannya dalam membesarkan enam anak yang kesemuanya masih bersekolah. Beliau melakukan pelbagai pekerjaan selain menjadi pencuci.

PULAU PINANG
Kisah yang memaparkan kehidupan seorang warga emas yang tinggal bersendirian di rumah pusaka arwah ibu bapanya di Kampung Teluk Sungai Dua, Pulau Pinang. Habsah Sharif, 86 tahun, tidak mempunyai anak melainkan seorang anak angkat yang dipeliharanya sejak kecik. Namun, setelah anak angkatnya mendirikan rumah tangga beliau tinggal berseorangan. Nenek yang semakin uzur ini tidak lagi mampu untuk berjalan tanpa bantuan tongkatnya. Makan dan minum tidak menentu kadang-kadang anak saudara yang tinggal berhampiran datang menjenguk dan membersihkan rumah.
EPISOD-4 
PERLIS
Meninjau kehidupan sebuah keluarga di Kampung Utan Aji, Perlis yang penuh berliku sejak kematian suami Yusof Osman pada penghujung 2001, kini Fatimah Bakar, 45 tahun, terpaksa mengambilalih tanggungjawab sebagai bapa kepada lima orang anak yang masih bersekolah, arwah suami hanya meninggalkan sebuah rumah yang usang di mamah usia sebagai harta selain anak-anak. Keadaan rumahnya begitu daif, bumbungnya pula bocor di sana-sini

PAHANG
Yahya Saleh, 59 tahun sudah menjadi nelayan sejak berusia 12 tahun lagi. Melalui hasil pendapan sebagai nelayan itulah, beliau menyara isteri, Noreha Hassan dan sembilan anak. Hidup sebagai nelayan terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi, malah beliau hampir kehilangan nyawa akibat kemalangan di laut. Tambahan pula, Yahya menghidap penyakit gaot sehingga menyebabkan beliau tidak dapat selalu turun ke laut. Pendapatannya hanya sekitar RM 150 hingga RM 300 sebulan. Kehidupan Yahya bertambah rumit apabila seorang daripada anaknya mengalami kecacatan fizikal sejak daripada kecil.
EPISOD-5 
PERLIS
Tragedi Tsunami meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada mangsa-mangsanya. Begitu juga dengan mangsa Tsunami yang tinggal di Kampung Tanjung Gelang ini Norsiah Johari, 42 tahun. Akibat terminum air beracun Tsunami kini kesihatannya terjejas, kakinya pula sakit terkena batu pantai ketika dilambung ombak Tsunami. Suami, Abdul Razak Osman, 58 tahun, bekerja sebagai buruh besi di daerah Sik, Kedah dan mendapat gaji dalam sekitar RM250 sebulan, sudah beberaoa tahun tidak pulang ke rumah, Anak perempuannya, Umi Norzalikha, 17 tahun, mengambil upah menjual hasil laut apabila tamat waktu sekolah, bagi meringankan bebanan yang ditanggung ibu.
JOHOR
Kisah kedua episod ini, memaparkan kesukaran hidup seorang pengawal keselamatan, Abdul Rahman Baba, 60 tahun. Pendapatannya sebanyak RM600 sebulan hanyalah cukup untuk membiayai perubatan anak yang yang mengalami masalah mental sejak tiga puluh tahun lalu. Beliau sendiri juga mengidap penyakit kulit sejak beberapa tahun lalu. Isterinya pula Kamariah Kian, 53, tidak dapat membantu lantaran terpaksa menjaga anak yang sakit mental. Abdul Rahman kini tinggal menumpang di rumah milik ibu mertua yang serba daif.
EPISOD-6 
KEDAH
Madrasah Takwiyatul Islamiah ditubuhkan pada tahun 70-an di atas sebidang tanah seluas 10 ekar yang diasaskan Tuan Guru Haji Abdullah Samah. Selepas lebih tiga abad ditubuhkan, kini sudah ada 80 penghuni menetap di sini. Rata-rata penghuni di sini adalah terdiri daripada golongan warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan. Kehidupan mereka di sini begitu daif, bekalan air dan elektrik seringkali terputus menyebabkan penghuninya perlu menggunakan air perigi dan lilin atau pelita.

KELANTAN
Sejak kematian suami Mei 2009, Samsiah Md Noor, 49 tahun hilang tempat bergantung. Dia perlu menjadi ibu dan ayah kepada 12 anak yang mana dua daripada mereka masih bersekolah. Dalam kemalangan yang meragut nyawa suaminya itu, dua anak beliau turut mengalami kecederaan parah. Kini, Samsiah terpaksa bekerja mencari pendapatan bagi menyara keluarga. Beliau tinggal di sebuah rumah yang didirikan di atas tanah yang disewa RM60 setahun. Di rumah usang itulah beliau tinggal bersama enam anak, seorang cucu dan nenek kepada arwah suaminya. Namum, kini beliau perlu mencari kediaman lain kerana pemiliknya ingin membangunkan tanah itu.
EPISOD-7 
PERAK
Episod ini memuatkan tiga kisah kemiskinan yang berbeza. Kisah pertama menceritkan kedaifan Saniah Mat Zain, 80 tahun, ibu tunggal kepada enam anak yang mana tiga daripada mereka mengalami masalah tekanan perasaan. Mereka tinggal jauh di kawasan pedalaman dalam ladang kelapa sawit. Rumah usang tidak dilengkapi dengan bekalan air dan elektrik. Pendapatan keluarga ini bergantung sepenuhnya kepada dua anak beliau, Halit yang bekerja sebagai nelayan di sungai dan abangnya, Razali bekerja sebagai buruh.

TERENGGANU
Kisah kedua pula lain ceritanya, Hamdan Mohd Zain atau Adam 47 tahun, hanya bekerja sebagai pengutip barangan terbuang dengan pendapatan tidak seberapa. Empat anaknya masih besekolah. Disebabkan tidak mampu menetap di rumah sewa, mereka kini tinggal di sebuah pondok yang hanya berzaiz 10 x 12 kaki yang didirikan hasil kutipan segilintir masyarakat yang bersimpati atas nasib yang menimpa Adam dan keluarga. Mereka terpaksa mandi dan mengambil air di surau berhampiran.

KELANTAN
Kisah ketiga menceritakan kesengsaraan Hasimah Mohamad, 35 tahun disahkan lumpuh apabila doktor mendapati tulang pinggangnya mengalami keretakan setelah terjatuh beberapa kali. Sejak lebih dari dua tahun yang lalu, beliau hanya mampu mengesot untuk bergerak. Pendapatan keluarganya kini bergantung kepada ibunya, Fatimah Draman, 69 tahun yang membuka kedai makan secara kecil-kecilan. Hasimah tinggal bersama ibu dan anak tunggalnya yang berusia 12 tahun. Suami yang diharapkan menjadi pelindung, hilang entah ke mana. Hanya kepada ibu tempat beliau bergantung hidup.
EPISOD-8 
TERENGGANU
Disebabkan tidak mampu membayar sewa rumah yang tinggi, keluarga ni tiada pilihan selain terpaksa menetap di sebuah rumah yang pada asalnya adalah tempat untuk memproses makanan kambing. Kisah kemiskinan Tengku Roslan Tengku Ismail, 45 tahun seorang buruh serta isterinya, Zabedah Yusof, 42 tahun, menetap sini ini sejak lebih tiga bulan lalu. Pendapatan Tengku Roslan sebagai buruh hanya sekitar RM500 sebulan dan adakalanya tidak menentu sambil menanggung isteri serta lima anak yang mana empat daripada mereka masih bersekolah. Lebih malang lagi apabila anak bongsunya, Tengku Mohd Hafizan, dua tahun menderita penyakit kanser urat saraf sekali gus menghalang niat Zabedah untuk bekerja menambah rezeki keluarga.

SELANGOR
Shahdan Sulaiman, 45 tahun bekerja sebagai tukang sapu di kawasan perumahan tempat beliau tinggal. Pendapatan sebanyak RM750 yang diperolehi digunakan untuk menyara isteri dan tujuh orang anak. Kesukaran hidupnya bermula apabila beliau terpaksa berhenti sebagai pekerja kilang pada 1998 akibat kegawatan ekonomi. Sejak itu, beliau berpindah ke sini dan melakukan pelbagai pekerjaan. Pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi sehingga beliau tidak mampu membayar ansuran pinjaman rumah, menyebabkan rumah yang diduduki kini dilelong bank. Beliau juga terpaksa memberhentikan persekolahan dua anaknya. Dengan penyakit tiroid yang dihidapi sejak 11 tahun lalu, beliau memerlukan rawatan bagi mengubatinya.